Home » , » Tanam padi secara organik

Tanam padi secara organik

Written By b on Friday, 10 January 2014 | 20:53


BESUT 8 Jan. - Jabatan Pertanian negeri memperkenalkan kaedah penanaman padi secara organik melibatkan 10 peserta yang mengusahakan kawasan seluas 20 hektar di Kampung Durian Telor di sini melalui Program Kampungku Masa Depanku (MKMF).

Projek penanaman tanpa menggunakan racun dan bahan kimia itu merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu yang diketengahkan kepada penduduk bagi menggerakkan lagi kegiatan ekonomi dengan memanfaat sumber setempat.

Bagi memperkenalkan projek perintis itu, majlis mencedung diadakan di tapak projek yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Nawi Mohamad semalam.

"Tanaman ini dijangka dituai dalam masa 100 hari dan jika memuaskan, projek ini mungkin akan diperluaskan. Beberapa projek tanaman dan ternakan secara organik turut dirancang," ujarnya.

Projek MKMF Kampung Durian Telor, adalah yang pertama di negeri ini dan kelapan di seluruh negara di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

MKMF telah diilhamkan pelaksanaannya melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan menitikberatkan pemikiran kreatif dan gerak kerja inovatif dalam memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru di bawah skop transformasi komuniti.

Nawi berkata, pemilihan Kampung Durian Telor dan daerah ini bagi menjayakan MKMY sangat dihargai kerana ia memberikan lebih banyak peluang kepada penduduk meneroka usaha baharu untuk membangunkan kehidupan.

Katanya, bagi menjayakan perancangan yang telah disusun, jawatankuasa penyelaras MKMF akan memohon RM1.6 juta daripada kementerian bagi keperluan sepanjang tahun ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Segenap Demensi - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger