Latest Post

Tiada pesawat MH370 dikesan melintas di Aceh Timur

Written By b on Wednesday, 19 March 2014 | 05:33


JAKARTA 19 Mac - Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro memaklumkan bahawa radar tentera negara itu di Sabang, Aceh tidak mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, melintas di sekitar wilayah tersebut.

"Saya dapat laporan, sistem radar pertahanan udara di Sabang sangat kuat dan tidak mendeteksi (mengesan) adanya pesawat," kata Purnomo di sini, Rabu, seperti dilapor agensi berita Antara, ketika ditanya tentang kemungkinan pesawat MH370 melintasi wilayah itu.

Beberapa nelayan di Aceh Timur dan Sumatera Utara, mendakwa melihat pesawat jatuh di perairan Aceh Timur pada 8 Mac lepas, hari kehilangan pesawat MAS ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Purnomo berkata, radar tentera lebih sensitif jika dibandingkan dengan radar awam dan ketepatannya mengesan sesuatu objek itu tidak perlu diragukan.

Namun, beliau berkata pesawat MAS yang terbang ke arah utara Malaysia dan selatan Thailand itu, tidak berada dalam lingkungan radar tentera Indonesia. - BERNAMA


© Utusan Melayu (M) Bhd

SOKONGAN TERHADAP CALON BN DI KAJANG MENINGKAT LUAR BIASA - MUHYIDDIN


KAJANG, 19 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) telah meningkat secara
luar biasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang,
Ahad ini.
Berdasarkan maklum balas daripada Umno dan MCA, beliau berkata sokongan
terhadap calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun bertambah baik setelah sembilan
hari berkempen.
"Sokongan Chew semakin hari semakin baik dan kita mesti teruskan untuk
mencapai kemenangan," katanya pada majlis perjumpaan dengan jentera Puteri Umno
di Prima Saujana, di sini hari ini.
Muhyiddin turut menyarankan Pergerakan Puteri Umno turun padang menangkis
fitnah Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata Puteri Umno harus mengatur gerak langkah bagi mendampingi
golongan muda di DUN Kajang bagi meningkatkan keyakinan dan sokongan terhadap BN
dan Chew.
"Pergerakan Puteri Umno harus menyalurkan maklumat tepat dan memberi
penjelasan kepada pengundi agar mereka tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan
tuduhan parti lawan untuk menjatuhkan imej BN.
Muhyiddin berkata ia adalah satu misi penting untuk memenangi DUN Kajang
kerana ia membawa pengertian cukup besar untuk meningkatkan sokongan rakyat
terhadap BN.
Beliau berkata Chew merupakan calon BN terbaik kerana merupakan pemimpin
berkelulusan tinggi, berpengalaman, bersikap integriti dan
kredibiliti serta mampu memikul amanah dan tanggungjawab.
"Chew akan memberi harapan kepada kita untuk terus berkhidmat memajukan
Kajang," katanya.
PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara dua wanita, iaitu
Chew dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
PRK Kajang diadakan susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya
Lee Chin Cheh, daripada PKR pada 27 Jan lepas.
-- BERNAMA

MH370 Allianz bayar pampasan RM456.7 juta


Kuala Lumpur: Syarikat insurans, Allianz yang menjadi syarikat insurans utama yang memberi perlindungan kepada pesawat MH370 berkata, bayaran sejumlah 100 juta Euro (RM456.7 juta) sudah dibayar syarikat berkenaan bersama beberapa syarikat insurans lain sebagai wang liabiti awal.

Reuters yang memetik akhbar harian German, Handelsblatt melaporkan, tindakan itu adalah seperti yang ditandatangani dalam perjanjian dengan broker insurans, Willis dan ia adalah selari dengan prosedur biasa dalam pasaran insurans dan obligasi syarikat apabila sesuatu pesawat dilaporkan hilang.
Dilaporkan, bayaran berkenaan dianggarkan berjumlah RM456.7 juta untuk pesawat dan penumpang di dalamnya. - Agensi

PrayforMH370 Hayat makin kurang


KUALA LUMPUR: Bateri kotak hitam pesawat MH370 dikatakan hanya berupaya untuk bertahan sekurang-kurangnya 18 hari daripada tarikh kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), 8 Mac lalu.

Menurut syarikat Honeywell yang mengeluarkan kotak hitam, alat itu direka supaya dapat dicari semula sehingga 30 hari selepas berlakunya kejadian tidak diingini, mengikut syarat ditetapkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
Kotak hitam biasanya berupaya menjawab segala persoalan serta spekulasi kejadian menimpa sebarang pesawat, terutama membabitkan kehilangan pesawat MH370 yang ketika itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Semua pesawat wajib dilengkapi kotak hitam yang terdiri daripada perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR).
Setiap FDR dan CVR pula dipasang peranti dikenali sebagai Underwater Locator Beacon (ULB) yang akan diaktifkan jika pesawat terhempas dalam air.


Sekiranya kotak hitam terbabit tidak dapat ditemui selepas hayat bateri tamat, operasi SAR akan menjadi agak sukar memandangkan kawasan pencarian kini seluas Australia.

Sementara itu, mengikut South China Morning Post yang memetik kapten penerbangan merangkap penyiasat nahas pesawat dari Hong Kong, David Newbery, berkata pasukan SAR menghadapi masalah sama ketika mencari pesawat Air France 447 di Lautan Atlantic, pada 2009.

Menurutnya, kotak hitam pesawat Air France ituhanya ditemui dua tahun selepas nahas itu.

"Oleh itu, jika pesawat tidak ditemui sebelum isyarat itu berhenti, pencarian akan laluan yang agak rumit," kata Newbery.

Professor Alan Lau Kin-tak daripada Jabatan Kejuruteraan Universiti Politeknik Hong Kong bersetuju dan berkata: "Penemuan pesawat akan menjadi lebih sukar jika tiada sebarang penemuan dalam masa 30 hari."

Pasukan SAR juga tidak dapat mengesan isyarat daripada pemancar lokasi kecemasan pesawat itu yang mempunyai jangka hayat selama 24 jam selepas berlakunya nahas.

Operasi SAR kini membabitkan 26 negara yang menumpu pencarian di dua koridor iaitu Koridor Utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand manakala koridor Selatan membabitkan selatan Lautan Hindi berhampiran perairan Indonesia dan Australia.

Menerusi sidang media harian di KLIA, hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memaklumkan bahawa pasukan penyiasat Air France turut berkongsi pengalaman mengenai kotak hitam.

“Penyiasat Air France turut berkongsi maklumat mengenai alat khas bagi mengesan kotak hitam. Kami sudah mengenal pasti alat berkenaan yang mungkin dapat membantu. Kita perlu cari pesawat dulu untuk mendapatkan kotak hitam,” katanya.
--HMETRO

MH370: Tidak ada pesawat Malaysia dikesan radar - Tentera Maldives


KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Maldives (MNDF) memaklumkan radarnya tidak mengesan pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu yang didakwa dilihat oleh sebahagian penduduk di sebuah pulau terpencil di republik itu pada pagi hari yang sama.

Menurut MNDF, ia telah meningkatkan usaha memantau wilayah Maldives dengan lebih teliti susulan kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu tetapi tidak mengesan pesawat berkenaan. Pesawat penerbangan MH370 itu juga tidak dikesan oleh radar yang berada di lapangan terbang di Maldives.

"Berdasarkan pemantauan setakat ini, tidak ada radar tentera di negara ini yang mengesan pesawat yang hilang itu. Selain itu, data yang diteliti setakat ini daripada radar yang ditempatkan di lapangan-lapangan terbang di Maldives tidak menemui kesan pesawat MH370," kata angkatan tentera itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan dari Dhivehi.

Dalam pada itu, MNDF juga sedang membantu pasukan polis republik itu menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh media di Maldives serta usaha mencari pesawat MH370 yang sedang dijalankan oleh agensi antarabangsa.

Media di Maldives pada Selasa melaporkan penduduk di pulau Kudahuvadhoo mendakwa melihat sebuah "pesawat terbang rendah" pada pagi 8 Mac, hari pesawat MH370 dilaporkan hilang.

Laman web berita Haveeru Online pada Selasa juga melaporkan penduduk pulau itu mendakwa mendengar bunyi bising yang kuat semasa pesawat itu melintasi pulau mereka.

Wartawan Haveeru, Ahmad Naif yang menulis laporan itu mendedahkan pihaknya mendapat maklumat berkenaan sejak 9 Mac lagi tetapi sangsi dengan kesahihan dakwaan tersebut.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/mh370-tidak-ada-pesawat-malaysia-dikesan-radar-tentera-maldives-32110?cp

Kebanyakan data simulator Kapten Zaharie dipadam


PUTRAJAYA - Kebanyakan maklumat dalam simulator milik juruterbang Malaysia Airlines MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah yang kini masih dalam siasatan polis telah dipadamkan pemiliknya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini semua input dalam simulator itu sedang diuji dan dikaji.

Bagaimanapun, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kaedah forensik untuk memperoleh semua maklumat yang telah dipadamkan itu.

"Harus diingat bahawa apa yang dilakukan pihak polis bukan untuk menuduh atau mahu menekan mana-mana anggota keluarga, tetapi dibuat untuk menjalankan siasatan paling teliti dan rapi supaya punca kejadian dapat diketahui.

"Kita kaji dan membuat siasatan jika terdapat beberapa kemungkinan untuk pihak polis mengkaji sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama para penjawat awam di sini hari ini. - Bernama

MH370 Australia, Amerika gagal di Lautan Hindi


Kuala Lumpur: Pesawat pencari dari Australia dan Amerika Syarikat gagal mengesan sebarang bukti berkait dengan pesawat MH370 pada hari pertama pencarian di selatan Lautan Hindi, semalam.

AFP melaporkan, Isnin lalu pihak berkuasa di Kuala Lumpur meminta Canberra menjalankan tugas pencarian di koridor Selatan dalam usaha mengesan pesawat jenis Boeing 777 yang hilang pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan krew kapal.
Dilaporkan, kerajaan Malaysia percaya pesawat berkenaan dilencongkan dengan sengaja dan terbang beberapa jam selepas hilang dari laluan asalnya sama ada menghala ke Asia Tengah atau Selatan Lautan Hindi.

Usaha pencarian di selatan Lautan Hindi itu dijalankan dengan kerjasama pesawat penyelamat dari Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand yang menjalankan pencarian di kawasan seluar 305,000 kilometer persegi.


Tiga buah kapal perdagangan juga memberi respons kepada mesej yang yang dikeluarkan Pusat Koordinasi Penyelamat Australia. - Agensi


“Tiga kapal sudah melalui kawasan berkenaan, sebuah lagi masih berada di lokasi manakala sebuah kapal lagi akan tiba menjelang petang esok,” kata pihak berkuasa Keselamatan Maritim Australia yang mengetuai operasi pencarian itu.

“Tiada pesawat mahupun kapal laut yang melaporkan menemui sesuatu yang berkaitan dengan pesawat MH370,” katanya.

Dalam usaha pencarian pada hari Selasa, kawasan seluas 2,600 kilometer dari selatan Perth menjadi fokus selepas meneliti laporan data satelit dan radar tentera yang diterima daripada pesawat berkenaan.
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Segenap Demensi - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger