Home » , » Polis ambil keterangan beberapa individu

Polis ambil keterangan beberapa individu

Written By b on Friday, 10 January 2014 | 20:35


KUALA TERENGGANU – Polis telah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu pasukan itu menyiasat kejadian tembak kediaman Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MBD), Ibrahim Mohamad di Kampung Gong Kepas Dalam, Jerteh, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dengan keterangan tersebut pihaknya sudah mendapat beberapa petunjuk berhubung kejadian berkenaan dan siasatan mendalam masih lagi dijalankan.

“Hanya itu yang boleh saya katakan, selebihnya kita tunggu hasil siasatan nanti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini semalam.

Sinar Harian sebelum ini ada melaporkan terdapat enam das tembakan di rumah dan kereta Mercedes Benz CLK 320 milik YDP Besut dipercayai dilepaskan dua penjenayah yang menaiki motosikal.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi, mangsa Ibrahim Mohamad bersama isteri dan anak lelakinya berusia 11 tahun berada di rumahnya tetapi tidak menyedari kejadian itu.

Kejadian itu hanya disedari mangsa kira-kira jam 8.30 pagi selepas dimaklumkan isterinya yang ketika itu keluar membersihkan halaman rumah.

Siasatan mendapati dua daripada tembakan itu terkena pada bahagian depan rumah manakala empat lagi terkena pada bonet dan cermin depan serta belakang kereta mangsa.

Polis kemudian menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes tembakan tersebut dan siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati individu tertentu terhadap mangsa dalam menjalankan tugasnya sebagai YDP.
sinarharian
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Segenap Demensi - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger