Home » , » Datuk kaki dadah ditahan

Datuk kaki dadah ditahan

Written By b on Saturday, 11 January 2014 | 18:37


HULU TERENGGANU - Datuk seorang cucu berusia 50 tahun ditahan ketika sedang bersembunyi di sebuah pondok buruk di Kampung Langgar dalam Operasi Bersepadu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, lelaki itu merupakan antara 15 individu berumur 20 hingga 50 tahun yang ditahan polis dalam serbuan dalam tempoh 12 jam yang berakhir jam 9 pagi semalam.

Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan setelah pihaknya mengesyaki pondok buruk itu menjadi lokasi aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.

Ketika serbuan katanya, seorang lelaki berada dalam pondok itu dan hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat satu kotak rokok dalam genggamannya yang mempunyai dua botol lutsinar bertudung kuning mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

“Suspek merupakan seorang penganggur dan saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum tidak kurang dua tahun penjara dan tidak melebihi lima tahun serta tiga hingga sembilan sebatan,” katanya di IPD Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Mohd Ismail berkata, dalam serbuan kedua kira-kira setengah jam kemudian, polis menahan dua lelaki berusia 41 dan 38 tahun di sebuah rumah pusaka milik seorang daripada mereka di Kampung Bukit Tadok.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit ketika itu sedang khayal di dalam sebuah bilik dan hasil pemeriksaan menemui satu beg pinggang tanpa tali berisi 18 pil kuda serta satu botol dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan morfin. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 15(1)(a) akta yang sama.

"Serbuan tersebut mendapati penagih dadah sering menggunakan kotak rokok untuk menyimpan dadah. Selain itu, nilai rampasan dadah bagi kedua-dua serbuan tersebut melebihi RM1,000," katanya.

Beliau juga berkata, sekatan jalan raya turut dilakukan di tiga lokasi iaitu di simpang masuk Felda Jerangau di Jalan Ajil-Bukit Besi, simpang Plaza Tok Ajil serta di Kuala Jeneris iaitu di simpang masuk ke Gawi.

Katanya, sebanyak 138 kenderaan dan 93 orang diperiksa, selain tujuh saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
--Sinarharian
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Segenap Demensi - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger